Saturday 14 September 2013

Salam Perkenalan

Salam Perkenalan kepada semua warga Blogger & terutamanya pengguna tegar produk Shaklee.

Saya sangat minat menulis, tapi tidak pernah menyimpan cita-cita untuk menjadi penulis. Apa yang saya tulis ini adalah catatan ikhlas yang lahir daripada hati saya yang jujur dan ikhlas.

Untuk pengetahuan semua saya merupakan seorang Pengusaha Taska yang telah berkecimpung dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak selama hampir 4 tahun. Asalnya saya pernah bekerja di beberapa buah konsultan dalam bidang teknikal dan pembinaan.

Setelah bekerja selama hampir 8 tahun dalam bidang teknikal dan pembinaan tersebut saya mula menyimpan hasrat untuk mempunyai perniagaan sendiri yang sebati dengan jiwa saya sendiri, tambahan pula memikirkan anak sulung akan bakal memulakan sessi persekolahan Tahun Satu pada tahun 2010.

Pada asalnya saya tidak pernah terlintas langsung untuk membuka perniagaan Taska kerana tiada pengetahuan disamping kekangan modal pada waktu itu. Saya fikir modal permulaan agak tinggi dan mula memikirkan bagaimana untuk memulakan perniagaan tersebut.

Faktor utama saya memilih perniagaan ketika itu adalah berdasarkan kepada dua faktor yang pada pendapat saya sangat penting iaitu :

1. Perniagaan yang akan saya jalankan nanti mestilah perniagaan yang mendapat permintaan yang tinggi.

Pada ketika itu terlintas difikiran untuk membuka Taska/Tadika atau Butik Perancang Acara Perkahwinan, kerana saya sangat berminat dengan kerja-kerja seni seperti gubahan hantaran, hiasan pelamin dan sebagainya. (menurut jejak langkah ibu yang memang sangat berminat dalam seni kreatif gubahan)

2. Perniagaan tersebut mestilah tidak memisahkan hubungan saya dengan anak-anak dengan erti kata yang lain anak-anak membesar depan mata.

Pada ketika itu memang saya tekad untuk membuka Taska kerana saya berpendapat saya boleh membesarkan anak dengan sendiri disamping dapat menjana pendapatan.

Saya membatalkan hasrat membuka perniagaan yang melibatkan urusan perancang acara perkahwinan kerana berpendapat bahawa perniagaan tersebut adalah perniagaan bermusim di samping hujung minggu / cuti sekolah saya mula sibuk sedangkan pada waktu itu adalah masa yang paling berkualiti untuk saya bersama dengan famili & anak-anak.

Justeru pada akhir tahun 2009 saya dengan semangat yang berkobar-kobar telah mendaftarkan diri menyertai Kursus Asas Asuhan Kanak-Kanak (KAAK) yang mana kursus tersebut adalah syarat wajib yang perlu dipenuhi oleh Pengusaha Taska. Dalam masa 3 bulan saya berjaya menghabiskan kursus tersebut dan telah memulakan perniagaan Taska pada tahun 2010.

Saya sangat teruja dan gembira dengan perniagaan taska yang baru saya ceburi. Banyak pengalaman pahit manis yang di tempuhi sehinggalah saya dapat bertahan selama 4 tahun.


No comments: